Suzuki V-Strom 800RE tiba di Malaysia – RM54,800

Selain GSX-S1000GX dan GSX-8R, Suzuki Malaysia juga telah melancarkan model touring V-Strom 800RE untuk pasaran Malaysia, pada harga RM54,800 tidak termasuk insurans. Untuk pengetahuan, V-Strom 800RE ini adalah satu versi asas yang lebih fokus kepada penggunaan atas jalan biasa bagi V-Strom 800DE yang dilancarkan di pasaran kita tahun lalu.

Perbezaan utama adalah pada bahagian roda, di mana 800RE datang dengan unit aluminium bersaiz 19 inci di hadapan, dibalut dengan tayar 110/80 dan 17 inci di belakang, dibalut tayar 150/70 di belakang. Tangki bahan api masih lagi bekapasiti 20 liter, tetapi berat keseluruhan 800RE telah berkurang menjadi 223 kg berbanding 230 kg bagi 800DE.

Meskipun 800RE adalah lebih murah dan berbanding 800DE (RM60,800 semasa dilancarkan), ia datang dengan brek yang lebih berprestasi, iaitu tetapan cakera berkembar 310 mm bersama angkup Nissin empat piston di hadapan dan cakera 260 mm dengan angkup satu piston di belakang.

Suzuki V-Strom 800RE tiba di Malaysia – RM54,800

Untuk suspensi, 800RE mendapat perkakasan daripada Showa, yang terdiri daripada fork Separate Function Fork – Big Piston (SFF-BP) dengan pelarasan pra beban di hadapan, dan monoshock dengan pelarasan pra beban serta lantunan. Jarak kelegaan dari tanah 800RE adalah lebih rendah berbanding 800DE, iaitu 185 mm berbanding 220 mm.

Anda juga boleh melihat terdapat beberapa kekurangan lain pada 800RE seperti penghadang tangan dan penghadang bawah enjin. Panel badan masih sama, dan 800RE juga masih mendapat penghadang angin hadapan yang boleh dilaras secara manual.

Perincian lain adalah sama termasuk enjin dan kuasa, iaitu unit dua silinder selari DOHC 776 cc dengan crankshaft 270 darjah dan padanan transmisi enam kelajuan, mampu menghasilkan kuasa 84.3 PS dan tork 78 Nm. Quickshifter juga disediakan secara standard untuk 800RE ini.

Tiga mod tunggangan disediakan pada 800RE (800DE ada empat mod), iaitu Active (A), Basic (B) dan Comfort (C) sementara kawalan cengkaman juga mempunyai tiga mod manakala ABS mempunyai dua mod. Di hadapan penunggang terdapat skrin TFT LCD lima inci untuk memaparkan informasi penting motosikal.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *